• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

'Terengganu Beach Games Bukan Program Kerajaan Negeri'

Poster iklan kejohanan yang menimbulkan pertikaian warga net, sebelum ini.

KUALA TERENGGANU, 23 September-  Terengganu Beach Games bukan program anjuran  kerajaan negeri, itu kenyataan yang dikeluarkan pengurus acara Terengganu Beach Games, Mohd Fazli A.Rahman kepada Urus Setia Darul Iman (UPDI).

Beliau yang ditemui di pejabat UPDI, hari ini menafikan penglibatan kerajaan negeri dalam penganjuran program berkenaan serta acara-acara yang dipertandingkan.

"Cuma, kita ada mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi lokasi program sahaja, secara berbayar (sewa tapak)," katanya.

Beliau turut memohon maaf berikutan timbul isu dan persoalan warga net tentang percampuran atlet lelaki dan perempuan pada Kejohanan Dodgeball Pata 2019 yang bakal berlangsung dalam program tersebut.

"Kami maklum dengan isu ini dan Persatuan Dodgeball Terengganu juga mengakui mereka tidak merujuk kepada pihak berkaitan sebelum melaksanakan kejohanan itu.

"Pihak mereka akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah  berkenaan hal ini," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor yang dikaitkan dengan Persatuan Dodgeball Terengganu menafikan perkara tersebut.

"Baru-baru ini, memang saya ada menerima kunjungan Dodgeball Terengganu yang berhasrat mencadangkan saya sebagai penaungnya, namun itu baru diperingkat cadangan tidak rasmi tanpa sebarang surat pelantikan.

"Dalam pertemuan itu, saya turut dimaklumkan tentang kejohanan yang akan diadakan tetapi sama sekali tidak mengetahui percampuran atlet lelaki dan wanita dalam satu pasukan sebagaimana yang diiklankan," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera oleh persatuan tersebut dengan merujuk exco Sukan negeri.

"Mereka telah mengatur pertemuan dengan YB Wan Sukairi dan semoga dapat diselesaikan dengan baik kerana ia melibatkan prinsip patuh syariah yang dipegang kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini, poster iklan berkenaan Kejohanan Dodgeball Pata 2019 sempena Terengganu Beach Games yang memaparkan kategori terbuka 3 lawan 3 akan melibatkan dua atlet lelaki dan satu wanita dalam acara tersebut.

Ia kemudiannya mengundang persoalan warga net berkaitan dasar patuh syariah yang dipromosikan kerajaan negeri dalam penganjuran sukan di negeri itu.

Untuk rekod, Terengganu Beach Games yang akan berlangsung 26 September itu nanti merupakan anjuran Jawatankuasa Terengganu Beach Games terdiri daripada Persatuan Taekwando Terengganu, Persatuan Dodgeball Terengganu, Persatuan Lumba Basikal Terengganu dan Kuala Terengganu Residen (KUTERER).