• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

RM14.5 Juta Bagi Projek Rumah PPTS Marang

MARANG, 17 Januari- Kerajaan negeri telah membelanjakan RM14.5 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022 bagi pembinaan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan baik pulih rumah di daerah Marang.

Menteri Besar, Dato' Seri  Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 67 buah rumah PPTS dibina baharu di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Marang.

"Selain daripada Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah dibina kerajaan negeri, PPTS ini juga sebenarnya termasuk sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dan ia telah dibina di seluruh DUN di Negeri Terengganu.

Ahmad Samsuri menandatangani plak penyerahan di rumah yang diterima Nurhayana Ismail (kiri).

"Pada kerajaan dan saya sendiri, saya merasakan ini adalah antara usaha kita memastikan bahawa rakyat yang memerlukan dapat memiliki rumah sebagai tempat mereka berteduh bersama anggota keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyampaikan PPTS kepada lapan penerima di Kampung Alur Tuman, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut memberi jaminan bahawa usaha tersebut akan dilakukan secara berterusan.

"Kita juga sentiasa perhatikan dari masa ke masa kepada mereka yang memerlukan dan insya-Allah, PPTS ini akan terus dilaksanakan untuk keperluan rakyat seluruhnya," katanya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 15 buah rumah PPTS telah dibina di DUN Rhu Rendang dengan kos sebuah rumah sebanyak RM56,000. Selain itu, DUN Bukit Payung merekodkan pembinaan 19 buah PPTS, Alor Limbat sebanyak tujuh buah dan 26 buah di DUN Pengkalan Berangan.

 


Tag: