• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Beri Wang Pencen Untuk Warga Emas

KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu bakal melengkapkan pelaksanaan manifesto pemberian pencen rakyat sebanyak RM50 sebulan kepada warga emas yang layak selepas sesi pemilihan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang mengedarkan borang permohonan Pencen Rakyat Warga Emas tersebut bagi diisi mereka yang layak.

Katanya, penerima akan ditentukan melalui analisa data yang di pejabat daerah.

"Bakal penerima pencen itu pastinya bukan penerima bantuan bulanan daripada mana-mana agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Perkeso dan penerima pencen sedia ada.

"Hanya dibuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tiada sumber pendapatan tetap.

"Selain itu, dalam satu keluarga, seorang warga emas yang layak akan menerima manfaat tersebut," katanya.

Hanafiah Mat.

Beliau berkata demikian  selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Person Under Surveillance di Pusat Kuarantin COVID-19 di Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah memaklumkan analisa data dijangka mengambil masa enam bulan untuk diselesaikan.

"Selepas itu ia akan dibawa kepada mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri untuk mendapat persetujuan dan kelulusan.

"Apa yang dilaksana itu adalah termaktub dalam Manifesto Pilihan Raya lalu yang menjanjikan sumbangan bulanan sebanyak RM600 setahun atau RM50 sebulan," tambah beliau.


Tag: