• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Berjaya Kumpul RM771 Ribu Bantu Rakyat Palestin

KUALA TERENGGANU, 30 November - Terengganu berjaya mengumpulkan kutipan derma melalui ‘Tabung Terengganu Aid4 Palestine 2.0’ sebanyak RM771,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata kutipan derma itu bertujuan bagi membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis. 

Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk kutipan yang telah dibuat masjid-masjid di negeri ini.

“Kita jangkakan selepas daripada ini akan mencapai jumlah sasaran yang kita letakkan sebenyak RM1 juta.

“Kutipan itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang telah terlibat secara langsung di bumi Palestin.

“Apa yang dilakukan beliau sangat proaktif serta beliau menyediakan laporan penuh perjalanan sumbangan yang kita berikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Kutipan Derma Tabung ‘Terengganu Aid4 Palestine 2.0 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) pada hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Terdahulu, kerajaan negeri melancarkan ‘Tabung Terengganu Aid4 Palestine 2.0’ pada 25 Oktober yang lepas setelah daripada serangan rejim zionis terhadap bumi Palestine.

Tambah Hishamuddin, inisiatif ini diambil di atas kebersamaan umat Islam di Palestine melalui kerajaan negeri Terengganu.

“Usaha tersebut merupakan kali kedua dilaksanakan di negeri ini selain memberi peluang kepada rakyat untuk menyalurkan sumbangan ke saluran yang tepat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata sumbangan tersebut melibatkan lebih daripada 40 agensi, 27 Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dan 44 Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk ‘non muslim'.

Beliau berkata, ini membuktikan bahawa besarnya solidariti rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan saudara kita di bumi Palestine.

“Saya berharap bahawa usaha ini dapat diteruskan dan diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 


Tag: