PPS Kebor Besar Sediakan Pelbagai Aktiviti Untuk Mangsa Banjir
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Terengganu berpotensi menerima lebih ramai pelancong dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) melalui pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pengumuman itu disambut baik dan Terengganu bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini pada bila-bila masa.
"Ia dilihat berupaya mengubah persepsi pelancong yang sebelum ini melihat Terengganu tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh.
"Disebabkan bulan Disember musim tengkujuh di Terengganu dan persepsi pengunjung tidak sesuai untuk mereka ke sini pada waktu ini. Namun sebenarnya, kedatangan pelancong ke Terengganu sangat diperlukan ketika ini.
"Jadi, kita minta kerajaan persekutuan untuk promosikan juga musim tengkujuh dan (MTL) di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, kebanyakan pengusaha resort di pulau-pulau memutuskan untuk tidak beroperasi musim ini atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Terengganu.
"Musim tengkujuh ini di laut sahaja dan di darat kita ada homestay dan macam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pelancong seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetland.
"Setiu Wetland juga ketika ini sedang menawarkan pakej 'Main Hujang' atau mandi hujan sehingga Februari tahun depan khusus untuk pengisian semasa musim monsun ini.
"Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada houseboat dan ia sesuai untuk pencinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana 'galak' dan saya pasti ianya amat mengujakan para pemancing," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia.
Sebelum ini, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN turut dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.