Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Catat Belanjawan Lebihan Tiga Tahun Berturut-turut
Terengganu Catat Belanjawan Lebihan Tiga Tahun Berturut-turut
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
221

KUALA TERENGGANU, 18 November – Terengganu berjaya membentangkan belanjawan lebihan (surplus) bagi tiga tahun berturut-turut meskipun berdepan pelbagai kekangan dan cabaran kewangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahir berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengurus kewangan secara berhemah tanpa mengabaikan keperluan rakyat.

Menurutnya, Belanjawan Terengganu 2027 menganggarkan hasil negeri sebanyak RM2.088 bilion berbanding perbelanjaan RM1.9836 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan sebanyak RM104.4 juta.

"Keadaan ini mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar dalam mengawal perbelanjaan tanpa mengorbankan keperluan utama rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.

Dalam pada itu, Zaharudin turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan mengekalkan kedudukan sebagai negeri paling telus dalam pengurusan belanjawan bagi tiga penilaian berturut-turut, iaitu pada 2022, 2024 dan 2026.

Katanya, pengiktirafan itu diberikan menerusi Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI), sebuah inisiatif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) yang menilai tahap ketelusan pengurusan belanjawan kerajaan negeri di Malaysia.

"MyOBI menilai tiga aspek utama, iaitu ketelusan maklumat belanjawan, pemantauan legislatif dan penyertaan awam.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja memperkukuh integriti dan tadbir urus kewangan negeri, malah meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya.

Tambah beliau, pencapaian itu turut memastikan perbelanjaan kerajaan negeri dilaksanakan secara lebih telus dan bertanggungjawab, selain menjadi penanda aras amalan terbaik dalam pengurusan kewangan negeri.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan