KUALA TERENGGANU, 12 September - Terengganu dinobat sebagai negeri paling bahagia di Malaysia apabila mencatat skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kejayaan itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia sekali gus menggambarkan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup yang tinggi di negeri Pantai Timur itu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Johor muncul di tempat kedua dengan skor 8.08 manakala Negeri Sembilan ketiga dengan 8.01.
“Bagi peringkat daerah, Kluang, Johor merekodkan skor tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub, Pahang (9.52) dan Mersing, Johor (9.50).
“Secara keseluruhan, sebanyak 36 daerah berada dalam kategori sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, laporan MHI kali ini adalah yang pertama diterbitkan secara terperinci sehingga ke peringkat negeri dan daerah, membolehkan penilaian kebahagiaan dibuat lebih bersasar berpandukan realiti setempat.
Beliau menjelaskan, MHI 2024 dibangunkan berdasarkan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang menilai tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Secara keseluruhan, Malaysia mencatat skor kebahagiaan 7.60 yang meletakkan negara dalam kategori bahagia.
“Perbandingan antara kawasan bandar (7.61) dan luar bandar (7.56) menunjukkan jurang yang kecil, mencerminkan keseimbangan pembangunan dan kualiti hidup.
“Komponen keagamaan dan kerohanian menjadi penyumbang terbesar kepada kebahagiaan dengan skor 8.69, manakala faktor keluarga di tempat kedua dengan 8.64,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, kebudayaan (6.22) dan emosi (6.40) dikesan berada pada tahap paling rendah, memberi isyarat perlunya perhatian terhadap aspek kesejahteraan emosi serta penghayatan budaya dalam dasar sosial negara.
Tambah beliau lagi, dari sudut demografi, wanita dilaporkan lebih bahagia (7.62) berbanding lelaki (7.57). Golongan muda berusia 15 hingga 19 tahun pula merekodkan skor tertinggi iaitu 7.79, manakala warga emas 65 tahun ke atas mencatatkan skor 7.54.
Mohd Uzir berkata, dapatan itu membuktikan rakyat Malaysia kekal optimis serta mempunyai daya tahan kolektif yang kuat dalam mendepani cabaran global.
“Indeks ini akan menjadi rujukan penting untuk pihak berkuasa merancang strategi meningkatkan kualiti hidup rakyat mengikut keperluan negeri dan daerah,” katanya.