• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu, ECERDC Sasar Tarik Pelaburan RM5 Bilion Dari Korea

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan Terengganu dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk menarik pelaburan berpotensi dari Korea Selatan yang dianggarkan bernilai RM5 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat telah ke Korea Selatan pada bagi mempromosi wilayah ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Baidzawi berkata, misi lawatan ke negara terbabit bermula dari 25 Jun hingga 2 julai adalah kesinambungan komunikasi berterusan antara pihaknya dengan pelabur sasaran di Korea Selatan sejak tahun lalu.

Beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat-syarikat di Korea Selatan akan melabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), khusunya di Terengganu.

"Pelaburan daripada firma terkemuka di negara berkenaan yang terbabit dalam sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan bahan termaju berpotensi untuk membangunkan kilang-kilang pembuatan baharu di Terengganu.

"Rakan kongsi strategik kami turut sama menyertai delegasi ini bagi memudahcara proses rundingan dalam memenuhi sebarang keperluan bakal pelabur, sekali gus menambahkan keyakinan mereka untuk melabur," ujarnya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Semasa berada di sana, menurut Baidzawi delegasi telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari subsektor berpotensi lain yang turut menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Misi ini dijangka mampu mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan berpotensi daripada kalangan syarikat Korea Selatan ke ECER dan pihak ECERDC menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak MIDA di Seoul sepanjang misi ini,"ujarnya.

Untuk rekod, Korea Selatan merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM79.78 bilion pada tahun 2020.