KUALA NERUS, 12 Disember - Terengganu FC berdepan tugas sukar dalam usaha melayakkan diri ke peringkat kalah mati menjelang aksi terakhir Kumpulan G pada saingan Piala AFC malam esok.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner berharap pasukan kendaliannya berjaya memperoleh keputusan lebih baik dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu.
"Ada sedikit rasa bimbang dengan keadaan pemain selepas perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini, di mana pemain sedikit lesu bukan sahaja fizikal tetapi mental kerana kami kalah.
"Ada yang cedera, tetapi saya tau pemain saya. Setakat ini Aza, Alif dan juga Ivan Mamut tidak menyertai latihan akibat kecederaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di SSMZA, hari ini.
Tambahnya, setiap perlawanan adalah penting lebih-lebih lagi, Sang Penyu masih belum tewas dalam aksi Piala AFC.
"Kami buat kesilapan apabila seri menetang Stallion (Laguna FC) di sini. Kami memerlukan kemenangan.
"Setiap perlawanan akan ada tekanan, tetapi ini kerja kami dan kami harus bekerja dalam tekanan," ujarnya.
Tomislav turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong Terengganu FC untuk seluruh musim ini dan berharap penyokong terus memenuhkan stadium pada perlawanan esok.