• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu FC Catat Kemenangan Terakhir Liga Super

KUALA NERUS, 17 Disember - Pasukan Terengganu FC menutup tirai Liga Super Malaysia 2023 dengan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Perak FC di halaman sendiri, malam ini.

Terengganu FC bermula garang apabila Ivan Mamut meledak jaringan seawal minit keenam hasil kesilapan penjaga gol lawan, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Sepuluh minit kemudian, hantaran lintang daripada Nik Muhammad Sharif Haseefy ditanduk kemas Engku Muhammad Nur Shakir untuk gol kedua Sang Penyu.

Pada minit ke-23, Sony Norde hampir menambah jaringan tetapi rembatannya ditepis Farhan.

Keputusan kekal dengan tuan rumah mendahului dua jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Perak FC cuba menggasak seawal babak kedua dengan Shivan Pillay melakukan percubaan yang ditangkap kemas Syed Muhammad Nasrulhaq pada minit ke -46.

Terengganu FC berpeluang mengukuhkan kedudukan pada minit ke-50, namun Ivan gagal menyudahkan peluang keemasan di depan gol yang terbuka.

Seminit kemudian, Nik Sharif Haseefy pula mensia-siakan peluang terhidang.

Pada minit ke-55 Engku Nur Shakir hampir menambah jaringan, tetapi diselamatkan palang gol lawan.

Peluang Sony Norde turut dinafikan apabila rembatannya hanya singgah di tiang gol pada minit ke-61.

Pada minit ke-67, The Bos Gaurus nyaris merapatkan jurang jaringan tetapi sepakan percuma Luciano Guaycochea sekadar melewati palang gol.

Permainan lebih terbuka dengan pelawat agresif cuba menembusi kubu Terengganu FC.

Memasuki minit ke-80, Nurillo Tukhtasinov melorongkan bola kepada Mohd Nor Hakim Hassan yang berjaya melepasi perangkap offside, beliau kemudian menewaskan Farhan yang keluar dari kotak penalti sebelum menolak mudah bola ke dalam gawang untuk gol ketiga Sang Penyu.

Wisel penamat dibunyikan berkesudahan Terengganu FC menang 3-0, namun gergasi pantai timur itu kekal di tangga keenam dengan 40 mata.

Kemenangan itu turut menyaksikan Ivan Mamut muncul pejaring terbanyak pasukan apabila mengumpul 11 gol dalam saingan Liga Super Malaysia buat musim pertamanya.

 


Tag: