• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terengganu FC II Dinobat Juara Sulung Piala MFL

KUALA LUMPUR, 11 November - Terengganu FC II muncul juara sulung Piala MFL apabila mengatasi Johor DT II dengan skor 1-0 pada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir itu, jaringan tunggal pemain gantian, Muhammad Isa Raman pada minit ke-88 menggamatkan sorakan penyokong.

Sebelum perlawanan, skuad Harimau Selatan dilihat memiliki kelebihan apabila tiga pemain dari skuad utamanya iaitu Oscar Aribas, Shane Lowry dan Endrick dos Santos membarisi kesebelasan utama pasukan.

Manakala, Sang Penyu memanggil kembali Safwan Mazlan, Syahmi Zamri dan Ubaidillah Shamsul Fazili yang dipinjamkan ke skuad 'abang' sebelum ini bagi membantu pasukan mengimbangi kekurangan itu.

Skuad kendalian Hairuddin Omar bermula garang seawal minit pertama menerusi Syahmi Zamri yang merembat deras umpanan Nur Azfar Fikri, menggegarkan sisi gawang.

Seminit kemudian, sepakan sudut Nur Azfar menemui Jordan Mintah, tetapi tandukannya didakap kemas penjaga gol Johor DT II, Zulhilmi Sharani.

Anak-anak buah Echeverria Mariano cuba mengatur serangan namun, beberapa percubaan ke kubu Terengganu FC II berjaya dipatahkan pertahanan.

Keputusan kekal tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan jaringan.

Pada minit ke-62, Mintah memiliki peluang terbaik dalam kotak penalti lawan, namun umpanannya tidak berjaya disudahkan Syahmi.

Johor DT II berjaya menyerang menerusi Oscar dan Ramadhan Saifullah pada minit ke-67 dan ke-68, tetapi rembatan kedua-dua pemain itu tersasar.

Peluang terbaik Harimau Selatan hadir pada minit ke-80 apabila sepakan percuma Oscar tepat menuju bucu gawang, namun penjaga gol, Zulhilmi Sharani cemerlang menafikannya.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir seri, Isa Raman memecah kebuntuan jaringan dengan rembatan deras setelah pertahanan, Aysar Hadi gagal menampan kemas bola hantaran penjaga gol pada minit ke-88.

Keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan dan menyaksikan Hairuddin berjaya meraih piala pertama sebagai jurulatih.


Tag: