• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Fokus Tenaga Boleh Baharu

KUALA TERENGGANU, 2 November – Kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan program peralihan tenaga selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dengan memanfaatkan tenaga hidro dan tenaga solar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya juga sedang mengkaji untuk menggunakan hydrogen hijau sebagai salah satu sumber tenaga hijau di negeri itu.

Menurut beliau, Empangan Hidroelektrik Tasik kenyir adalah salah satu loji kuasa hidroelektrik terbesar di Malaysia, dan kerajaan negeri merancang untuk meningkatkan lagi keupayaan tenaga hijau dengan memasang loji fotovoltaik solar terapung di Tasik Kenyir.

“Kerajaan negeri juga telah menandatangani MOU dengan PETRONAS Gas Berhad untuk mencari peluang dalam tenaga boleh diperbaharui terutamanya pada mini hidro,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC peringkat Negeri Terengganu yang turut dihadiri kira-kira 300 pelabur di sini hari ini.

Justeru itu, para pemain industri dan pelabur yang  berminat dijemput  untuk mengadakan perbincangan untuk topik tenaga boleh baharu yang berpotensi menjadi pemangkin perubahan kepada Terengganu.

“Saya berharap untuk melibatkan diri dan bekerjasama dengan mana-mana pelabur,  secara kolektif meneroka peluang baharu dalam Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Hijau, untuk memanfaatkan sumber kekayaan Terengganu dan mengukuhkan tarikan tawaran pelancongan yang banyak di negeri ini.

“Dua minggu lepas, saya telah mengadakan perbincangan  dengan beberapa pemain serantau mengenai tenaga hidrogen di Terengganu, termasuk dengan orang Korea; dan seterusnya  pada Isnin (6 November) ini, saya akan mengadakan perbincangan serius dengan Ketua Menteri Sarawak di Kuching mengenai topik yang sama,” katanya lagi.

Ahmad Samsuri juga  turut merakamkan penghargaan kepada ECERDC  kerana sejak 15 tahun lalu, Terengganu telah menerima banyak manfaat dari segi kemasukan pelaburan, pembangunan projek-projek infrastruktur dan logistik dan juga program-program pembangunan modal insan yang cukup signifikan buat rakyat negeri itu. 

"ECERDC telah menarik pelaburan swasta komited berjumlah lebih RM380 juta dalam sektor pertanian di Terengganu sejak 2018 sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, sebanyak RM28.1 bilion nilai pelaburan telah berjaya direalisasikan ke negeri Terengganu sejak penubuhannya pada tahun 2008. 

Tambahnya, lebih 43,000 peluang pekerjaan dan lebih 11,000 peluang keusahawanan telah berjaya diwujudkan kepada rakyat Terengganu setakat ini.