KUALA TERENGGANU, 23 April – Terengganu telah mengubah landskap industri mineralnya apabila tidak lagi bergantung kepada penjualan pasir silika mentah bernilai rendah, sebaliknya beralih kepada pemprosesan silika berketulenan tinggi bagi memenuhi permintaan industri kaca dan elektronik.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata peralihan itu menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam memperkukuh rantaian ekonomi industri hiliran mineral.
Katanya, syarikat TRG Industrial Mineral (TIM) kini memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan industri mineral negeri ke arah pembentukan ekosistem hiliran yang lebih mampan dan bernilai tinggi.
Menurutnya, lawatan rasmi bersama agensi kerajaan ke Kilang TRG Silika Setia pada 29 Mac lalu memperlihatkan perkembangan pesat industri silika di Terengganu yang kini merangkumi keseluruhan rantaian daripada huluan hingga hiliran.
“Kerajaan didedahkan bahawa industri silika Terengganu kini berkembang secara menyeluruh daripada huluan hingga hiliran, melibatkan pemprosesan high purity silica oleh Terengganu Silica Consortium, penghasilan ultra high purity silica dan cristobalite di TRG Silica Marang, serta inisiatif CSR melalui Terengganu Kristal.
“Industri ini juga telah beralih daripada penjualan pasir silika mentah bernilai rendah kepada pemprosesan berketulenan tinggi bagi pasaran kaca dan elektronik,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan DUN Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman semalam.

Tambahnya, projek pengembangan di Marang dijangka terus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai hab pemprosesan silika serantau, termasuk melalui pembinaan terminal khas yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2028.
Katanya, penghasilan cristobalite pada masa depan turut dijangka membuka ruang kepada pelbagai industri lain seperti engineered stone, pergigian, bahan kimia industri dan cat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang pembangunan industri Unsur Nadir Bumi (REE) yang dilihat berpotensi menjadi sumber hasil baharu, dengan anggaran simpanan mencecah hampir 7.19 juta metrik tan.
Bagi menyokong sektor itu, katanya, sebuah Centre of Excellence (COE) akan ditubuhkan di University College TATI yang melibatkan kemudahan makmal analisis, penyelidikan dan pembangunan, selain program latihan teknikal dan vokasional.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan sumber mineral negeri diurus secara lestari, di samping melahirkan tenaga kerja mahir tempatan bagi menyokong pertumbuhan industri baharu ini,” katanya.
Tag :