• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Hijab Day Bukan Sekadar Program

SETIU, 16 Februari - Penganjuran Terengganu Hijab Day (THD) bukan sekadar program berhijab atau bertudung tetapi mendidik masyarakat ke arah kebaikan.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda itu berjaya dijalankan.

"Tahniah kepada pihak penganjur NISA' Setiu atas program yang dijalankan pada hari ini dengan bersama turun padang menggerakkan kempen Terengganu Hijab Day pada hari ini.

"Dalam masa yang sama, kita semua sedang menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat sebagaimana yang disuruh dalam Islam Amar Maaruf Nahi Mungkar," katanya ketika berucap pada majlis ringkas THD peringkat kawasan Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10.

Hadir sama Pegawai Agama Daerah Setiu, Mohd Shaharuddin Zainal.

Dalam pada itu, turut diadakan soal jawab kuiz, edaran risalah dan agihan belon khas sempena THD 2024.

Kemuncak sambutan THD akan diadakan pada 22 Februari nanti bertempat di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus yang akan dirasmikan oleh Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri.