lightning-solid
Berita :
Terengganu Import Baka Brahman, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan
Terengganu Import Baka Brahman, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan
Rohayati Ripin
04 Sep 25
574

KUALA TERENGGANU, 4 September - Kerajaan Terengganu sedang dalam proses membawa masuk sebanyak 128 ekor induk betina dan pejantan baka Brahman dari Darwin, Australia, sebagai langkah memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, ternakan berkenaan kini ditempatkan di Export Yard Darwin untuk menjalani proses kuarantin selama tujuh hari.

“Proses kuarantin ini penting bagi memastikan kesihatan haiwan terjamin. Sampel darah diambil untuk pemeriksaan bagi mengelak sebarang risiko penyakit sebelum dieksport ke Malaysia,” katanya selepas meninjau fasiliti tersebut bersama Mr Kelvin Mulvahil, Director Australian Cattle Enterprise, hari ini.

Beliau menambah, pusat kuarantin berkenaan mampu menampung sehingga 4,000 ekor ternakan pada satu-satu masa, dengan kapasiti muatan sebuah kapal antara 3,500 hingga 4,000 ekor setiap trip.

"Setiap tahun, kira-kira 95,000 ekor lembu dieksport ke pelbagai destinasi dunia, termasuk Asia Tenggara," jelasnya.

Dr. Azman berkata, usaha membawa masuk baka Brahman ini merupakan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh industri penternakan tempatan.

“Insya-Allah, lembu-lembu ini dijangka tiba di Terengganu pada akhir September 2025," ujarnya.

Langkah ini, tambah beliau, adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi menjamin keselamatan makanan serta menyokong agenda pengukuhan industri agro di Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan