Terengganu Inc Peruntuk RM130 Ribu Laksana CSR Sempena Ramadan

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan sebanyak RM 130,000 untuk program-program di sepanjang bulan Ramadan tahun 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, ia merupakan misi pihaknya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Katanya, pelbagai pengisian kebajikan sepanjang bulan puasa ini termasuk agihan bubur lambuk, Jejak Ramadan yang melibatkan program bakul makanan dan pelbagai lagi pengisian.

“Ini termasuk program ‘Jom Shopping Raya’ yang diadakan bersama 25 orang pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu pada hari ini. 

“Terengganu Inc amat mementingkan usaha kebajikan dengan tujuan untuk membantu masyarakat tempatan dan golongan kurang bernasib baik, sekaligus menjalin hubungan baik dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Burhanuddin Hilmi, Terengganu Inc bertekad untuk terus melaksanakan program-program CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat dan membantu membentuk masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

“Kumpulan Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM12.02 juta CSR pada tahun 2024 kepada negeri Terengganu dengan bagi memberi manfaat kepada sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama dan alam sekitar. 

“Selain itu, Terengganu Inc turut menawarkan bantuan pendidikan seperti biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship yang diperkenalkan mulai tahun 2022 sehingga kini dengan jumlah peruntukan sehingga kini adalah sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh tersebut,” ujarnya.


Tag: