• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Inc Sumbang RM210,000 Bantu Pelaksanaan STEM

KUALA TERENGGANU, 15 November – Anak syarikat negeri (GLC), Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM210,000 bagi merintis program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan lnsan negeri, Ahmad Shah Mohamed berkata STEM adalah landasan kepada kejayaan dan inovasi cendiakawan muda masa hadapan.

“STEM membawa kita kepada era revolusi industri 4.0, yang terus menuntut pembaharuan, inovasi, dan pemerkasaan masyarakat melalui pengetahuan dan kemahiran. 

“Di Terengganu, kita telah meletakkan dasar-dasar bagi mengukuhkan pendidikan dan pembangunan dalam bidang ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Modul Kembara STEM bertempat di Duyong Marina di sini hari ini.

Tambah Ahmad Shah, pendidikan STEM perlu diperkukuhkan lagi memandangkan peranannya amat besar dalam melahirkan modal insan yang kompeten.

Ujar beliau, ia bagi memecahkan cabaran kompleks seterusnya membantu mencipta masa depan masyarakat yang lebih baik.

“Keberhasilan Modul Kembara STEM ini diyakini mampu berperanan sebagai satu rujukan dan panduan kepada pelajar-pelajar Terengganu untuk mengeksplorasi dunia STEM dengan lebih mendalam. 

“Proses ini tentunya memerlukan bimbingan fasilitator dan mentor yang terlatih bagi tujuan membina asas pengetahuan yang kukuh demi masa depan yang lebih terjamin. 

“Saya difahamkan modul ini telah pun berjaya diimplementasikan melalui dua program utama. 

“Pertama, program Terengganu Peers STEM Coaching (TPSC) pada tahun 2022 yang melibatkan 25 buah sekolah elit dengan penyertaan 625 murid dan 125 sekolah harian biasa dengan penyertaan 3125 murid,” katanya.

Manakala jelas beliau, program kedua adalah STEM Educators Bootcamp 2023 melibatkan para guru sahaja seramai 233 orang dari 124 buah sekolah sekitar Terengganu.

"Saya menggesa semua pihak terlibat, terutamanya guru-guru, ibu bapa, dan pelajar-pelajar, untuk bersama-sama memanfaatkan Modul Kembara STEM ini.

"Ini sebagai satu peluang keemasan untuk memperkukuhkan pendidikan STEM di Terengganu," jelasnya.