• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Inc Terima Anugerah Tertinggi Antarabangsa

KUALA TERENGGANU,10 Disember – Anak Syarikat berkaitan kerajaan negeri, Terengganu Inc menerima anugerah tertinggi antarabangsa dan anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) pada Majlis Makan Malam Anugerah Sumber Manusia (HR) Malaysia-Antarabangsa Ke-23 2023.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata anugerah tersebut merupakan 'Grand Award Winner, 23rd Malaysia-International HR Awards 2023’ dan ‘Gold Award Winner, Employer of Choice (Private Sector) Category’.

Katanya, Terengganu Inc merangkul dua anugerah tersebut buat julung kalinya setelah melalui dua proses penilaian juri yang ketat pada Oktober sehingga November.

“Kejayaan itu adalah satu pengiktirafan signifikan syarikat sebagai pelopor dalam amalan HR terbaik di Terengganu dan Pantai Timur.

“Di samping, menonjolkan penglibatan pekerja yang luar biasa dan mencipta budaya tempat kerja yang unggul,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Majlis penganugerahan itu dianjurkan Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM).

Terengganu Inc yang diwakili Burhanuddin Hilmi menerima anugerah itu daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud disaksikan Presiden MIHRM, Simon Benjamin, pada 8 Disember di Dorsett Grand Subang, Selangor.

Tambah Burhanuddin, usaha itu adalah hasil inisiatif modal insan seperti dapatan tenaga kerja yang betul menerusi pembentukan Prosedur Operasi Standard (SOP), Talent Pool Programme dan TI Management Trainee (TI-Mate). 

“Selain itu, Terengganu Inc turut melabur sebanyak RM838,500 bagi latihan dan pembangunan skill dalam tenaga kerja semasa dan akan datang,” jelasnya.

Untuk rekod, anugerah MIHRM ialah acara utama dengan pengiktirafan global yang dianjurkan oleh MIHRM sejak 1999 dan tahun ini akan menandakan tahun ke-23 penganjurannya.

Menurut pandangan panel juri, Terengganu Inc telah menonjol dengan pembentangan yang berkualiti tinggi yang disampaikan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutifnya. 

Hasilnya, anugerah terulung tersebut telah dimenangi, mendahului lebih 20 majikan daripada sektor awam dan swasta di seluruh negara.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: