• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Terengganu Jadi Negeri Pilihan Pelabur

KUALA LUMPUR, 29 Ogos -Terengganu mencatatkan rekod pelaburan sebanyak RM2.3 billion dengan 29 projek pembuatan diluluskan dari 2017 sehingga Jun 2022 dan menjadi antara negeri pilihan para pelabur. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Mr Sivasuryamoorthy Sundara Raja berkata, lebih separuh daripada pelaburan terbabit melibatan sumber asing dengan mencatatkan rekod berjumlah RM1.27 bilion. 

"Projek-projek ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan lebih 1,727 peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang produk petroleum (termasuk petrokimia), kimia dan produk kimia, produk mineral bukan logam, kayu dan produk kayu, serta mesin dan peralatan.

"Selain itu, dari Januari hingga Mac 2022, pelaburan bernilai RM 7.2 juta telah diluluskan dalam industri pembuatan makanan dan produk kayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential - A Briefing by Invest Terengganu di Perdana Hall, MIDA. 

Sivasuryamoorthy berkata, MIDA gembira melihat syarikat terkenal memanfaatkan infrastruktur dan rangkaian perkhidmatan sokongan berpengalaman Terengganu yang mantap.

Beliau berkata, antara syarikat yang terlibat adalah JXR Manufacturing Sdn Bhd, CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, Syarikat Bitumen Kemaman Sdn Bhd, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Encompass Industries Sdn Bhd, dan Eastern Steel Sdn Bhd.

"Syarikat-syarikat ini menjanjikan banyak kerjasama dan peluang untuk perniagaan tempatan kita.

"MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat dan perniagaan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi meningkatkan peluang pertumbuhan," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menambah lebih banyak taman perindustrian iaitu Taman Perindustrian Kerteh Terengganu, Taman Perindustrian Pulau Kerengga dan Lembah Silika Terengganu. 

"Ini adalah satu lagi langkah ke arah memastikan terdapat prospek yang baik bukan sahaja sekarang tetapi pada masa hadapan di Terengganu," ujarnya.