• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Jadi Tuan Rumah Muzakarah Falak Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 1 November - Terengganu telah terpilih menjadi tuan rumah sempena Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan 2023.

Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tema muzakarah yang diangkat pada kali ini ialah 'Melestarikan Kemajuan Falak Melalui Penyelidikan dan Penerbitan'.

"Pelaksanaan muzakarah ini diselang seli penganjurannya dengan Munaqasyah Fiqh Falak Peringkat Kebangsaan. Hasrat utamanya adalah untuk meningkatkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat kebangsaan dalam bidang falak.

"Turut membincangkan isu-isu semasa teknikal falak, bahkan sebagai salah satu medan perkongsian ilmu, strategi dan pengalaman agar selari bergerak dalam tuntutan zaman dan teknologi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program berkenaan di Hotel grand Puteri, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Mufti negeri, Dato' Dr Muhammad Sabri Haron.

Mengulas lebih lanjut, Dr Sirajuddin berkata pada muzakarah kali ini 10 tajuk yang selari dengan tuntutan semasa telah dibincangkan.

"Seperti hala tuju falak dalam bidang penyelidikan dan penerbitan antaranya peranan dan cabaran bahagian falak di Jabatan Mufti Negeri, penghayatan takwim hijri dalam kehidupan harian, kepentingan ilmu falak turath dalam mendepani kemajuan teknologi, balai cerap dan lain-lain.

"Alhamdulillah sebahagian besar daripada resolusi muzakarah yang lalu menjadi asas kepada kajian hukum dan fatwa, garis panduan untuk pertimbangan kerajaan.

"Antaranya ialah isu perubahan parameter kedudukan Matahari di bawah ufuk bagi waktu solat Subuh, penyelarasan nama bulan takwim hijri, menghasilkan buku panduan cerapan hilal bagi rujukan jabatan mufti negeri-negeri dan Ahli Jawatankuasa Rukyah seluruh negara dan kajian ufuk bangunan tinggi bagi penentuan waktu solat," ujarnya lagi.