• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Jaga Kebajikan Perantau

HULU LANGAT, 24 Januari- Kerajaan Terengganu konsisten dalam menjaga kebajikan anak-anak negeri di perantauan dengan sentiasa mengambil cakna tentang segala keperluan dan masalah dialami untuk diberikan pelbagai bantuan.

Sebahagian anak-anak Terengganu turut terjejas akibat banjir di Selangor baru-baru ini, memberi kesan besar dalam kehidupan mereka sehingga ada yang trauma dengan kejadian tersebut.

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, bersama pasukannya berkunjung ke setiap rumah untuk bertemu mata dengan mereka yang terkesan dan menyampaikan sumbangan daripada rombongan pihak kerajaan negeri dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

"Inilah usaha kita lakukan samada di peringkat kerajaan negeri mahupun di peringkat NGO yang sangat prihatin tentang denyut nadi rakyat yang berada di sini ketika mengalami musibah. 

"Sumbangan yang disampaikan pada hari ini sebahagian besarnya adalah daripada Perbadanan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di bawah Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) dan sebahagian lagi daripada warga negeri yang disalurkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Kelab Kebajikan Terengganu.

"Beberapa NGO yang turut terlibat antaranya ialah Al-Azhar Care, Cakna Care dan beberapa lagi pertubuhan yang lain. Saya jangkakan sekitar 100 keluarga menerimanya dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70,000.

"Alhamdulillah,setakat ini kita telah sampaikan semua sumbangan-sumbangan secara menyantuni dari rumah ke rumah yang mana kesemua mereka (penerima) ini telah dikenal pasti oleh Sekretariat Kepimpinan Anak-anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU)," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyantuni kesemua anak Terengganu yang terkesan banjir, di Selangor, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kemasik; Ir Saiful Azmi Suhali, ADUN Batu Burok; Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Setiausaha PERANTAU; Awasi Mohamad.

Salah seorang penerima bantuan, Fitri Yana Tumingan, berasal dari Hulu Langat yang berkahwin dengan anak jati Terengganu dari Ajil, Mohd Saifullizan Awang, mengakui teruja dengan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu itu.

"Alhamdulillah boleh buat belanja sedikit untuk kami sekeluarga serta emak mertua yang berasal dari felda Bukit Bading, Ajil yang kini tinggal bersama kami kerana sudah uzur. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri.

"Pengalaman banjir kali ini antara yang terburuk dihadapi selama tinggal di sini, memang boleh dikatakan tahun inilah yang paling memberi kesan disebabkan ramai yang terjejas dengan musibah yang dihadapi," katanya.

Sementara itu, Awasi menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dan cakna sehingga menjejaki perantau di mana sahaja berada untuk dibantu dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara.

"Sangat cakna dan prihatin sehingga bertungkus lumus untuk turun padang membantu anak-anak Terengganu di sini, seharian Hanafiah Mat berada di lapangan untuk turun berjumpa dengan kesemua mereka ini pada hari ini.

"Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO juga telah turun menyantuni penduduk yang berada di Lembah Klang, sebelum ini pun telah ramai wakil rakyat yang telah turun bertemu dan membantu anak rantau ini," katanya.