lightning-solid
Berita :
Terengganu Juarai Hab Tenaga Baru
Terengganu Juarai Hab Tenaga Baru
Husaif Mamat
19 Nov 25
740

KUALA LUMPUR, 19 November – Terengganu terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga baharu apabila Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Senari Synergy dimeterai hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa Senari Synergy merupakan sebuah GLC dari Sarawak dengan pemegang saham utama seperti Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), SGOS Capital Holdings Sdn. Bhd. dan Yayasan Sarawak. 

“Projek tenaga yang dirancang ini berpotensi membuka sehingga 1,000 peluang pekerjaan kepada anak Terengganu dan penduduk setempat, selain memberi ruang kepada pemindahan teknologi yang akan memperkayakan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Usaha ini menjadi permulaan kepada lebih banyak potensi kerjasama strategik antara Terengganu dan Sarawak

“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan komitmen penuh dalam memperkukuh kerjasama Sarawak-Terengganu khususnya berkaitan Hidrogen Hijau,” katanya dalam majlis terbabit.

FB_IMG_1763551363271.jpg 255.52 KB

Majlis Menandatangani MOU disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman dan Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy, Dato’ Jefri Ahmad Tambi, disaksikan Dr. Ahmad Samsuri dan Pengerusi Senari Synergy, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato’ Husain.

Untuk rekod, Senari Synergy Sdn Bhd ialah syarikat infrastruktur tenaga strategik di Sarawak, berperanan penting dalam rangkaian pengedaran minyak dan gas negeri. 

Melalui pengembangan ke bidang petrokimia, bitumen dan minyak sawit, Senari  Synergy juga mempunyai hala tuju diversifikasi industri dan pembangunan bersepadu antara pelabuhan, terminal dan taman industri.

Sementara itu, PMINT berkata, kerjasama ini turut menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam memanifestasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) melalui Teras ke-10: Kelestarian Alam Sekitar dan Tenaga Hijau yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar. 

“Kerjasama ini seterusnya akan mewujudkan sebuah joint project committee untuk melaksanakan due diligence, kajian kebolehlaksanaan termasuk menubuhkan Special Purpose Vehicle (SPV).

“Penceburan PMINT ke dalam sektor tenaga juga dilihat mampu meningkatkan nilai korporatnya, kerana PMINT kini bukan lagi sekadar pemaju hartanah, tetapi turut berperanan sebagai penyedia tenaga,” jelas kenyataan itu.


Tag :

Artikel Berkaitan