• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Terengganu Kaji Penggunaan Teknologi Digital Terbaru Pendidikan

Ariffin Deraman (kiri) dan Shafruddin (kanan) sempat mencuba permainan robot yang diberi nama Robot Sumo dan direka khas oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Kertih.
KUALA TERENGGANU,  23 Mac - Kerajaan Terengganu akan mengkaji penggunaan teknologi digital terbaharu untuk mempermudahkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah milik negeri itu.

Ia bertujuan untuk memastikan negeri Terengganu tidak ketinggalan dalam arus Revolusi  Industri 4.0 (IR 4.0) yang melanda dunia pada hari ini. 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri,  Ustaz Ariffin Deraman berkata,  kerajaan akan membuat kajian untuk menggunakan teknologi digital tersebut di sekolah-sekolah milik kerajaan negeri. 

Teknologi digital itu termasuk  Papan Putih Interaktif (Interactive Whiteboard) dan  Kiosk Multi Sentuhan (Multi Touch Kiosk).

"Saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah,  Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri,  Ustaz Satiful Bahri Mamat supaya dipersembahkan kepada beliau tentang perkara ini. 

"Kita tidak dapat elak dari menggunakan teknologi dan kerajaan akan mempertimbangkan penggunaannya di masa akan datang," jelas beliau. 

Beliau berkata,  teknologi tersebut lebih interaktif dari segi persembahannya terutama kepada guru-guru dan ia lebih menarik minat pelajar untuk menggunakannya. 


Ariffin berkata demikian pada sidang media sempena Seminar Ganu EdTEch Day 2019 di Bangunan TD1303, di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau yang mewakili Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan seminar tersebut yang dianjurkan oleh satu badan bukan kerajaan,  RUMAHKOD dengan kerjasama kerajaan negeri, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan beberapa agensi kerajaan yang lain. 


Kira-kira 308 orang pendidik dari seluruh Malaysia hadir mengikuti seminar selama dua hari itu bermula hari ini.

Tag: