• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terengganu Kawal Padi Dijual Keluar

KUALA TERENGGANU, 30 November - Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi daripada dijual keluar dengan kerjasama Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan tersebut diambil adalah disebabkan hasil padi tidak mencukupi dalam kalangan pengilang tempatan dalam negeri.

Ujarnya, tindakan tersebut adalah melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu yang dipengerusikan beliau melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi di negeri ini.

"Berdasarkan justifikasi ini, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri melaksankan beberapa langkah kawalan (antaranya) arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.

"Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

"Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah Dr Azman, selain itu bahagian Kawalselia Padi dan Beras turut menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan.

"Bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan dan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1,300 per tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan," ujarnya.