• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Kekal Tak Kutip Cukai Pintu Rumah Kediaman

KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Pengecualian cukai pintu rumah kediaman di Terengganu tetap diteruskan walaupun negeri kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta daripada kutipannya bagi tempoh 2018 hingga 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian itu adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Justeru itu katanya, sebaik PAS memenangi Terengganu pada PRU14, pihaknya telah menghapuskan cukai pintu rumah kediaman bagi melaksanakan janji berkenaan.

“Kita perlu mengambil kira pelbagai faktor yang memberikan ‘win-win situation’ untuk kebaikan rakyat dan juga negeri. 

“Walau kelihatan seperti kehilangan pendapatan buat negeri, namun langkah itu juga  antara usaha kerajaan negeri meringankan beban hidup rakyat,”katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika  diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Kerajaan Terengganu sedang mempertimbangkan cadangan untuk kembali melaksanakan kutipan cukai pintu kediaman secara bersasar yang tular di media sosial.

Jelasnya, isu tersebut timbul ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bajet baru-baru ini apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri yang mencadangkan perkara itu bagi mengatasi masalah kekurangan hasil yang agak besar.

“Ia disebabkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki pembayaran royalti hak rakyat kepada negeri.

“Setiap cadangan yang diterima, pihak kami akan kaji dan pertimbang dengan teliti sebelum mengambil keputusan muktamad,” ujarnya lagi.

Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta).

Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.