KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan Terengganu tidak berhasrat membuka Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sehingga darjah enam sebaliknya mengekalkan pelaksanaan sedia ada dari tahun satu hingga darjah lima.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, ketetapan itu dibuat kerana penilaian akhir pembelajaran KAFA di seluruh negara dilaksanakan menerusi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semasa murid darjah lima.
Menurutnya, Terengganu juga tidak pernah melaksanakan kelas KAFA bagi darjah enam sebelum ini dan berbeza dengan beberapa negeri lain yang menawarkan pembelajaran sehingga tahun tersebut.
"Di Negeri Terengganu, pembelajaran kelas KAFA ditetapkan dari darjah satu hingga darjah lima dan negeri ini tidak pernah mengadakan kelas KAFA darjah enam sebelum ini.
"Ini kerana penilaian akhir pembelajaran KAFA adalah UPKK pada Darjah Lima di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut katanya, Terengganu kini mempunyai seramai 3,380 guru KAFA yang mengendalikan pembelajaran kepada 91,939 pelajar di seluruh negeri.
Katanya, seramai 85 guru KAFA tambahan masih diperlukan bagi memenuhi keperluan pengajaran sedia ada dari darjah satu hingga darjah lima.
“Sekiranya kelas KAFA darjah enam ingin dibuka kita memerlukan tambahan seramai 829 guru bagi menampung keperluan tersebut,” ujarnya.
Jelas beliau, kebanyakan negeri yang melaksanakan kelas KAFA sehingga darjah enam menggunakan peruntukan kerajaan negeri masing-masing.
“Antara negeri yang menawarkan kelas KAFA sehingga darjah enam ialah Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak.
“Manakala Terengganu, Kelantan dan Kedah mengekalkan pelaksanaan kelas KAFA sehingga darjah lima,” ujarnya.