• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu, Kelantan Dijangka Banjir Mulai Esok - JPS

KUALA TERENGGANU, 18 November - Banjir diramal melanda beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan mulai awal pagi esok, susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil simulasi model ramalan banjir, JPS meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di dua daerah di Terengganu termasuk Besut iaitu di kawasan-kawasan sekitar Kampung (Kg) La, Kg Seberang La dan Kg Pengkalan Nangka, selain Setiu (kawasan sekitar Kg Che Mohid), sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di kawasan terbabit.

"Di Kelantan pula, kejadian banjir diramal boleh berlaku di beberapa kawasan di Tanah Merah dan Pasir Mas.

"Di Tanah merah, kawasan yang diramal dilanda banjir termasuk kawasan-kawasan sekitar Kg Kajang, Kg Nibong dan Kg Air Bujing.

"Di Pasir Mas pula, kawasan sekitar Kg Kubang Rambutan; Kg Bagus; Kg Degung; Kg Limau Purut; Kg Pengkalan Telok; Kg Rasal; Kg Tersang; Kg Lubok Gong; Pekan Rantau Panjang; Kg Gelang Mas dan Kg Kalor," katanya menurut kenyataan itu.

PRABN turut memaklumkan, kejadian banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," katanya.- BERITA HARIAN