• 19 Sept 2021 | 11 Safar 1443

Terengganu Komited Dengan Agenda Penyatuan Ummah

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan komited dengan agenda penyatuan ummah kerana ia mampu menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kesatuan dalam kalangan rakyat Terengganu yang hidup saling berkasih sayang, hormat menghormati dan bantu membantu bakal menyumbang ke arah itu.

“Bagi menjayakan agenda Penyatuan Ummah dan atas dasar keadilan bantuan kebajikan kerajaan negeri kepada seluruh rakyat yang memerlukan disalurkan melalui agensi kerajaan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa mengira kumpulan atau fahaman politik kepartian.

“Kerajaan juga sentiasa bersifat telus dan sentiasa berusaha supaya amalan tadbir urus kerajaan negeri dibina atas asas kemahiran, kecekapan dan integriti, dengan penglibatan semua pihak yang layak dalam pentadbiran kerajaan tanpa pilih kasih serta tidak mengira latar belakang parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN) di Terengganu, Mohd Nor berkata, kerajaan negeri memahami bahawa MN merupakan salah satu agenda Penyatuan Ummah dan ia diwujudkan setelah terbentuk serta berjalannya kerajaan negeri.

“Setelah PAS mendapat mandat daripada rakyat PRU14 lepas. Oleh itu, pembentukan kerajaan dan penyusunan pentadbirannya yang berlaku ketika itu adalah selaras dengan mandat rakyat pada ketika itu. 

“Walaupun demikian, agenda MN merupakan agenda masa depan, ini perlu diteruskan bagi membina penyatuan ummah dan mengembalikan kekuatan politiknya demi negara dan juga negeri. Bahkan pembentukan PN merupakan agenda memperluaskan dan pengukuhan penyatuan ummah,” jelasnya.

Tegas Mohd Nor lagi, sewajarnya rakyat bergembira dan semua pihak bersama dalam usaha penyatuan ini dengan hati yang lapang demi masa depan ummah. 

“Jangan dilayan, malah perlu diabaikan sikap-sikap negatif yang menghalang usaha murni dan boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

"Usaha penyatuan ini memerlukan pengorbanan besar, keikhlasan dan kesediaan daripada semua pihak untuk mengharungi rintangan berbagai-bagai dalam menjayakan misi besar untuk kepentingan negeri, negara, ummah dan rakyat,” tambahnya.


Tag: