• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Terengganu Lancar RM15 Juta Tabung Usahawan Sejahtera

Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman (kiri) menyampaikan replika cek TUGAS kepada Anuar Awang (kanan).
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kerajaan Terengganu secara rasminya melancarkan Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) hari ini menyaksikan satu lagi manifesto PAS berjaya ditunaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, manifesto tersebut secara rasminya telah dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

Ujarnya lagi, pelancaran TUGAS adalah siri menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan janji yang telah ditawarkan kepada rakyat sehingga diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negeri Terengganu.

“Kita nak laksanakan janji kita kepada rakyat. Antara lain yang sedang berjalan dalam seminggu dua ini mengenai lesen (bantuan) sebanyak RM300.

"Insya-Allah akan berjalan melibatkan 25,000 peserta, dan itu bukanlah permulaan kepada pelaksanaan manifesto, itu adalah siri-siri menunaikan tanggungjawab (janji) yang telah kita janjikan pada rakyat,” jelasnya.
Haji Mohd NurKhuzaini Ab.Rahman berucap ketika merasmikan TUGAS di hadapan usahawan-usahawan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Usahawan Sejahtera di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Hilmi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Anuar Awang.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU turut menyampaikan replika cek kepada usahawan-usahawan yang berjaya memohon Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Skim Pinjaman Bisnes Online (SPBOL).

Inisiatif di bawah kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu akan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dengan bantuan pinjaman sehingga RM30,000.
Golongan OKU tidak ketinggalan untuk menerima manfaat TUGAS.
TUGAS yang berjumlah RM15 juta akan meringankan beban buat para usahawan di Terengganu untuk memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan yang sedia ada.

Pelaksanaan manifesto yang terbaru itu menjadikan Terengganu antara negeri yang terawal telah melaksanakan separuh manifestonya ke arah menjadikan negeri itu Maju, Berkat dan Sejahtera.


Tag: