• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan

SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan.

“Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu.

“Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.

Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.

Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut.

Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.