• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Mahu Jadi Hab Batik Dunia

Ukiran kayu mampu beri pulangan lumayan.
BESUT, 15 Disember - Kerajaan Terengganu berhasrat menjadi antara negeri ‘gergasi’ dalam pemasaran dan pengeluaran batik di peringkat dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, hasrat itu diperkukuhkan lagi dengan kursus baharu yang bakal diwujudkan oleh Politeknik Besut pada tahun 2021.

“Diploma Industri Kraf dan Batik yang diwujudkan merupakan yang pertama dan satu-satunya di Politeknik Malaysia.

“Pengkhususan kepada ukiran kayu dan batik fesyen akan dapat melahirkan bahan baru dalam industri yang berdaya saing.
Nurkhuzaini menyampaikan sijil kursus kepada tenaga pengajar politeknik.
“Walaupun kedua-dua industri ini kurang popular tetapi ia memberikan pulangan lumayan bagi yang berkemahiran tinggi dalam bidang ini.

“Kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk menjadikan industri ini sebagai salah satu kerjaya pilihan dalam usaha melahirkan lebih ramai ‘player’ di pelbagai peringkat.

“Inisiatif yang dilakukan Politeknik adalah usaha yang baik dan perlu diteruskan,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan penutup Bengkel Perkongsian dan Pembangunan Ukiran Kayu Tradisi di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja kelmarin.

Bengkel tersebut merupakan kursus ‘Training of Trainer’ bagi tenaga pengajar Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual Politeknik untuk pembangunan program baharu yang bakal diwujudkan.

Bengkel tersebut berlangsung selama lima hari bermula 9 Disember lalu yang menampilkan pembelajaran secara teori dan praktikal.

Seramai enam orang tenaga pengajar dilatih dengan asas ukiran kayu yang bakal dijadikan silibus dalam program baharu itu.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Eksekutif Latihan Desa Ukiran Kayu, Mohamad Mazran Zakaria, Pengarah Politeknik Besut, Mukhtar Bakar dan Pengurus Kanan Pengurusan Aset dan Pembiayaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Zulkifli Yunus.




Tag: