• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Memiliki Balai Cerap Moden dan Lengkap

KUALA TERENGGAU, 1 November - Terengganu bukan sahaja memiliki ramai alim ulama serta tenaga yang berkepakaran dalam bidang ilmu falak tetapi negeri ini mempunyai balai cerap paling moden dan serba lengkap.

Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sejak dahulu Terengganu telah terkenal dengan kegemilangan ilmu falak.

Katanya, sejarah kegemilangan itu telah memberi sumbangan dalam melahirkan sebahagian besar pegawai falak dan penggiat falak.

"Sebagai contoh, Balai Cerap Kusza yang terletak di Bukit Merang, Setiu merupakan antara yang terawal dan banyak membuka penyelidikan danm penemuan baharu dalam ilmu falak.

"Kebetulan, saya juga ketika ini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pada bulan September lalu saya telah melawat balai cerap berkenaan.

"Alhamdulillah, banyak peralatan baharu dan program-program yang telah dijalankan bagi menarik minat orang ramai dalam mendalami ilmu falak dan meneroka penyelidikan-penyelidikan baru," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, di Hotel Grand Puteri, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr Sirajuddin berkeyakinan gabungan dan kerjasama strategik antara Jabatan Mufti negeri-negeri, Institusi Pengajian dan Persatuan falak akan merakyatkan lagi ilmu berkenaan untuk difahami dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat.

"Malaysia tidak ketandusan ahli-ahli pakar terdiri daripada para alim ulama, ahli akademik Institut Pengajian Tinggi (IPT), ahli teknikal, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamnya.

"Semua alim ulama dan ahli falak ini perlu bergabung dalam menghasilkan kerjasama yang mantap dalam membawa imej Malaysia untuk mempromosi dan mengangkat serta mengukuhkan bidang falak di peringkat global," ujarnya.