• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri hari ini terus mempertahankan hubungan rapat dengan ulama yang telah bermula sejak dulu sebagaimana terpahat dalam sejarah.

Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, atas faktor itu Terengganu mempunyai sistem pengajian ilmu dengan pelbagai ulama bertaraf dunia sehingga pernah digelar serambi mekah setaraf Kelantan dan Acheh.

"Kita berbangga kerana masyarakat Terengganu amat kuat pegangan agama dan tradisi pengajian agama, dalam hal ini telah menjadikan Islam sebagai suatu dasar atau pegangan rakyat (sehingga) telah menimbulkan semangat perpaduan di kalangan umat Melayu.

"Bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka tauhid, ummah dan ukhwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi,"ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Terengganu International Summit (TIS) 2023 berkata demikian ketika berucap menyapaikan ucapan alu-aluan di program berkenaan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, penemuan Batu Bersurat telah membuktikan bahawa Terengganu telah lama berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul.

"Ajaran Islam yang difahami oleh masyarakat Melayu Islam Terengganu sebagai 'ad-deen' atau 'way of life' dan bukannya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu selepas era penjajahan Brtish.

"Hal ini boleh diperhatikan melalui kandungan Islam yang terdapat dalam Batu Bersurat merangkumi seluruh kehidupan bermasyarakat sama ada dalam bidang pentadbiran, kekeluargaan, jenayah, muamalah, politik dan sebagainya.

"Begitu juga dalam Undang-undang Tubuh Negeri yang dinamakan sebagai Itqanul Muluk Bi Ta'diliis Suluk yang turut menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintah negeri,"katanya.

Dalam pada itu beliau menyifatkan TIS pada tahun ini sangat tepat pada masanya sebagai platform membincangkan ancaman global dalam bentuk serangan pemikiran yang semakin hebat dalam dunia hari ini dan kehadiran tokoh pemikir dari pelbagai negara  ini sangat dialu-alukan oleh kerajaan negeri.

"Semoga dengan penganjuran persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu yang singnifikan ini, serta kerjasama semua pihak akan memberikan impak nasional kepada usaha memelihara kestabilan dan kesejahteraan negara berpandukan kepada ajaran Islam,"ujarnya.