Berita :
Terengganu Perkenal Inisiatif Bantu Rakyat Susulan Jenayah Perang AS-Israel Terhadap Iran
Terengganu Perkenal Inisiatif Bantu Rakyat Susulan Jenayah Perang AS-Israel Terhadap Iran
Husaif Mamat
2 jam yang lepas
78

KUALA TERENGGANU, 23 April – Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat serta menyusun semula belanjawan negeri susulan tekanan ekonomi semasa yang berpunca daripada perkembangan geopolitik melibatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Republik Iran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedudukan geopolitik semasa telah memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri.

“Ia berpunca dari kuasa besar AS dan regim Zionis yang telah mengambil tindakan unilateral terkutuk yang kita kategorikan sebagai state terrorism ke atas Iran.

“Kesan 'reaction chain' atau 'domino effect' daripada peningkatan harga minyak adalah sangat besar dan meliputi semua sektor ekonomi,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut beliau, situasi berkenaan turut membawa kepada keadaan stagflasi iaitu apabila berlaku kelembapan atau kemerosotan pertumbuhan ekonomi serentak dengan kenaikan kadar inflasi.

“Kesan kepada pengeluar atau firma adalah meningkatkan kos pengeluaran dan kesan kepada pengguna pula adalah peningkatan harga barang, yang menjejaskan disposable income (pendapatan boleh guna) yang akhirnya mengurangkan kuasa beli rakyat,” ujarnya.

Ahmad Samsuri berkata, tekanan ekonomi itu memberi kesan kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, agama, kaum, etnik mahupun umur.

“Kesan sebegini adalah kepada semua rakyat. Semua rakyat berdepan dengan tekanan ekonomi, bermakna tanpa mengira keahlian parti politik, tanpa membezakan apakah anutan agama seseorang, tanpa mengira kaum dan etnik, tua atau muda semua terkesan kepada tekanan ekonomi yang sedemikian.

“Oleh yang demikian, sebarang langkah untuk mewujudkan dasar intervensi perlulah berlaku adil kepada semua kelompok. Itulah komitmen kita kepada rakyat negeri Terengganu, dan kita juga berharap agar pendekatan yang sama diamalkan oleh semua pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, bagi ekonomi negeri Terengganu, sektor perkhidmatan khususnya subsektor borong dan runcit, sektor pertanian dan sektor pembinaan dijangka paling teruk terjejas.

“Dalam keadaan kedudukan fiskal negeri yang ketat ekoran isu-isu yang berkait wang royalti petroleum, keupayaan Kerajaan Negeri agak terbatas.

“Namun demikian, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dan saya telah meminta YB (Dato') Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Perbendaharaan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menilai dan menyusun semula perbelanjaaan negeri dan inisiatif bantuan serta sokongan kepada golongan rentan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membuat penjajaran semula terhadap Belanjawan Negeri bagi memastikan keutamaan perbelanjaan lebih tertumpu kepada sektor yang memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat.

“Pengubahsuaian belanjawan akan memfokuskan kepada perbelanjaan untuk menggerakkan ekonomi yang menjurus kepada ‘sector based’, iaitu memberi tumpuan kepada sektor keutamaan yang mempunyai rantaian ekonomi terluas dan penglibatan rakyat paling ramai tanpa pengabaian sektor lain.

“Pelaksanaan program-program keraian juga akan dikurangkan serta dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada suntikan insentif ekonomi dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Bagi inisiatif sokongan dan bantuan kepada rakyat pula, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri telah mengumumkan pemberian moratorium kepada peminjam Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) sehingga 12 bulan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang membuat kajian terhadap beberapa lagi inisiatif lain bagi mengurangkan beban rakyat dan pemain ekonomi yang terkesan.

“Kerajaan Negeri juga sedang membuat kajian terhadap beberapa inisiatif-inisiatif lain iaitu pemberian moratorium kepada peminjam-peminjam Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), pemberian insentif pesawah serta kajian semula beberapa item di dalam Jadual Kadar Harga, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu khususnya melibatkan bahan-bahan binaan yang mengalami kenaikan harga yang mendadak,” katanya.

Beliau menambah, pelaksanaan projek pembangunan dan program kerajaan juga akan dibuat penilaian semula berdasarkan keperluan semasa.

“Projek atau program yang berimpak tinggi dan memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi khususnya dalam sektor pertanian, IKS dan pelancongan akan terus dilaksanakan,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan