• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan China

PUTRAJAYA, 31 Oktober –Terengganu telah mengadakan pertemuan dua hala dengan China bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi antara dua negara.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pihaknya telah menerima satu kunjungan hormat oleh delegasi Persekutuan Usahawan Belia Daerah Jiangsu ke Ibu Pejabat ECERDC, Menara Putrajaya Holdings Headquarters (PJH) di sini.

Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu berkaitan Projek ECRL (Laluan Kereta Api Pantai Timur) serta menaik taraf kawasan perindustrian bagi menarik minat pelabur serta peneroka baru. 

“Selain itu, pihak kami juga menawarkan ruang dan peluang dalam pelbagai sektor kepada pelabur melalui 28 kawasan perindustrian bermula dari Besut sehingga ke Kemaman,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam.

Tambah Nurkhuzaini, pelbagai insentif dan pakej pelaburan yang bakal ditawarkan oleh kerajaan negeri.

"Termasuk melalui agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) MIDA dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)," jelasnya.

Beliau berkata, ia sekali gus membantu pelabur merealisasikan pembangunan di Malaysia. 

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung pada persidangan kali ini. 

“Semoga apa yang dibincangkan mampu kita realisasikan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: