KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan Negeri Terengganu mempergiat usaha membangunkan sukan tinju dan Muay Thai menerusi program pencarian bakat muda, latihan berstruktur serta penganjuran kejohanan bagi melahirkan atlet berpotensi ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu menerusi Program Tunas Harapan dan Program Pembangunan Bakat dan Pelapis.
Katanya, program berkenaan memberi tumpuan kepada pencungkilan bakat anak muda selain meningkatkan teknik, kecergasan, disiplin dan kemahiran bertanding menerusi latihan kendalian jurulatih berwibawa.
“Pusat latihan bagi sukan Muay Thai dan tinju kini berada di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kemaman dan Besut,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan ADUN Jertih, Dr Haji Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Terengganu Ke-15 (bajet).
Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada penganjuran kejohanan sebagai platform menguji kemampuan atlet dan mengenal pasti bakat terbaik untuk mewakili Terengganu.
"Pada April 2025, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan Geran Padanan Sukan bagi penganjuran Kejohanan Muay Thai Negeri Terengganu 2025 di Felda Kerteh 5 yang melibatkan 35 pertarungan amatur dan 70 peserta," ujarnya.
Selain itu, dua kejohanan dalaman turut dianjurkan Persatuan Muay Thai membabitkan penyertaan kelab dan individu bagi memilih atlet terbaik ke peringkat kebangsaan.
Hishamuddin berkata, penganjuran Terengganu Fight Festival (T-Fight) dengan kerjasama persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri Terengganu turut menjadi platform meningkatkan mutu pertandingan serta memberi pendedahan kepada atlet tempatan.
Tambahnya, kerjasama antara kerajaan negeri, persatuan sukan dan agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi mengenal pasti bakat baharu serta menyediakan atlet menghadapi pertandingan termasuk SUKMA.