• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Perluas Kawasan Tanaman Kelapa

KUALA TERENGGANU, 1 November- Kerajaan negeri akan membangunkan kawasan tanaman kelapa di Setiu yang bakal meningkatkan Kadar Kecukupan Sara Diri (SSR) kelapa di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek komersial penanaman kelapa di Kampung Banggol Mukim Tasik dan Mukim Caluk itu melibatkan pelaburan sebanyak RM19 juta, merupakan salah satu usaha memperluas kawasan penanaman kelapa khususnya di Terengganu.

Katanya, bagi meningkatkan produktiviti tanaman dan hasil pengeluaran untuk tujuan komersial, pemilihan benih varieti kelapa yang sesuai dan mencukupi adalah dititik beratkan.

“Antaranya kelapa MATAG, kelapa Rendah Merah Malaya (MRD), kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa Pandan.

“Melalui pengeluaran kelapa yang dianggarkan lebih 18 juta biji kelapa setahun, Terengganu boleh meningkatkan SSR kelapa sehingga 148 peratus bagi tahun pertama tuaian, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Pejabat Daerah Setiu, Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. dan LRT Agribusiness Sdn. Bhd. bagi Projek Komersial Penanaman Kelapa di Kampung Banggol Mukim Tasik dan Mukim Caluk, Setiu yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, Pembangunan Projek Perintis Ladang Kelapa adalah satu daripada tiga komponen utama bagi Projek Komersial Penanaman Kelapa di Kampung Banggol ini selain daripada Pusat Pengumpulan, Pemprosesan & Pembungkusan (CPPC) Hasil Pertanian Kelapa, Daerah Setiu dan Pengembangan Industri Hiliran kelapa melalui Pembangunan Kilang Pemprosesan Kelapa.

“Komponen utama projek iaitu Projek Perintis Ladang Kelapa bakal menyaksikan dua pemain industri dalam sektor pertanian dan perladangan iaitu Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. dan anak syarikat Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd iaitu LRT Agribusiness Sdn. Bhd. berkolaborasi dalam membuka kawasan baru dengan keluasan bertanam seluas 490 hektar,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri turut peka dalam usaha menaiktaraf ekonomi serta pendapatan rakyat melalui komponen kedua projek iaitu dengan penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan &  Pembungkusan (CPPC) hasil Pertanian Kelapa, di daerah Setiu. 

”Kemudahan ini bertujuan memudahkan pengusaha ladang dan tanaman kelapa setempat memasarkan secara terus keluaran hasil tanaman mereka tanpa perlu terikat dengan mana-mana pihak selain dapat mengawal selia dari segi kualiti dan penggredan setiap buah kelapa yang diperolehi.

Manakala katanya, berkonsepkan dari Ladang ke Pasaran, Projek Komersial Penanaman Kelapa ini turut menyasarkan untuk menempatkan komponen rantaian pengeluaran kelapa secara bersepadu di bawah satu bumbung dengan penubuhan kilang pemprosesan kelapa. 

”Kilang ini dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dan dijangka menempatkan peluang pekerjaan seramai 70 orang kepada rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk sekitar Setiu,” ujarnya.