KUALA TERENGGANU, 13 November – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh pelaksanaan undang-undang Syariah dengan langkah memperluas lokasi pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara dan memperkasa struktur kehakiman Syariah negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri telah mengangkat permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara dijalankan di lokasi yang telah diwartakan.
Menurut beliau, proses tersebut memerlukan kelulusan dan pewartaan rasmi, termasuk perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
“Kita telah mengangkat permohonan dan MAIDAM telah bermesyuarat dan mewartakan beberapa lokasi termasuk masjid-masjid di setiap daerah.
"Bagi daerah Kuala Terengganu, dua lokasi telah dikenal pasti iaitu Masjid Putih dan Masjid Ladang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan DUN Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambah Dr. Muhammad Khalil, bagi pelaksanaan di kawasan awam seperti taman rekreasi, dataran atau kawasan tumpuan seperti Drawbridge dan Pasar Payang, kelulusan perlu diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri telah membawa satu usul baharu untuk menubuhkan Mahkamah Utama Syariah, sebagai tambahan kepada empat peringkat mahkamah sedia ada Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pemerkasaan sistem kehakiman Syariah di Terengganu supaya kedudukannya lebih tinggi dan setaraf dengan sistem kehakiman sivil.
"Kita telah memperkukuh dari segi enakmen undang-undang dan pelaksanaan, kini kita perkasakan pula dari sudut struktur mahkamah,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Terengganu bukanlah negeri pertama melaksanakan langkah ini, namun menyusul selepas beberapa negeri lain termasuk Perak yang telah mendahului dari segi pelaksanaan.
Langkah ini sekaligus menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pelaksanaan Syariah Islamiah di bumi Terengganu, selaras dengan matlamat menjadikan negeri itu sebagai model pelaksanaan Islam yang menyeluruh dan berkesan.