• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Pertimbang Salur Bantuan Rakyat Terjejas Covid-19

KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Terengganu akan mengkaji serta menilai bantuan Covid-19 yang diperlukan oleh mereka yang terjejas berdasarkan kes dan laporan sewajarnya.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan sentiasa menilai keperluan rakyat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin komuniti di seluruh Terengganu.

"Saya percaya semua wakil rakyat di Terengganu daripada semua parti politik sentiasa terbuka untuk menerima apa jua maklum balas daripada rakyat atas kesusahan yang dialami dan menyelesaikan masalah tersebut.

"Buat masa ini, kita meminta mereka yang terkesan untuk berhubung terus dengan wakil rakyat, ahli majlis atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri juga akan melihat keperluan dari masa ke semasa bagi memberi bantuan kepada mereka yang betul-betul terkesan.

"Kita juga akan berusaha dan mencari jalan bagi mengurangkan beban mereka, walaupun setakat ini masih tidak dibuat sebarang keputusan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemubual wartawan sebaik sahaja selesai menghadiri program Amal Blood Donation 2021 yang diadakan di sini hari ini.

Mengulas mengenai program terbabit, Ahmad Samsuri menyatakan aktiviti tersebut bertujuan membantu meningkatkan bekalan darah negara.

"Program ini telah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara memandangkan Pusat Darah Negara kekurangan bekalan darah.

"Hari ini, sebanyak 131 beg darah telah berjaya dikumpulkan dalam program anjuran Jabatan Amal Malaysia (JAM) ini, tambahnya.


Tag: