• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Peruntuk Lebih RM24 Juta Bantu Usahawan

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan lebih RM24 juta kepada 4,887 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga Ogos 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata skim pembiayaan TUGAS itu diwujudkan khas bagi membantu usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melancarkan aliran tunai syarikat mereka.

“Pinjaman berbentuk patuh syariah ini tidak akan membebankan usahawan kerana mereka hanya perlu menjelaskan bayaran berdasarkan jumlah pinjaman dan tiada sebarang faedah dikenakan.

“TUGAS yang menggabungkan skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU) dan lain-lain dilihat sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ladang Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambahnya, YPU turut menawarkan Geran Perniagaan di bawah TUGAS dengan had maksima sehingga RM5,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

“Antara geran perniagaan yang boleh dipohon adalah Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU ( D-Hati),”ujar beliau.

Ariffin juga berkata YPU dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri(DUN) turut membantu peniaga kecil dan penjaja melalui Dana Khas iaitu Dana PUTERA dengan jumlah bantuan tidak melebihi RM1,500 dalam bentuk tunai atau peralatan.