• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Peruntuk RM3.45 Juta Persediaan Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan Terengganu bersedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi dengan peruntukan diluluskan setakat ini berjumlah RM3.45 juta sebagai persediaan banjir tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri itu bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat.

"Daripada jumlah yang diterima itu, RM1.948 juta ialah daripada kerajaan persekutuan manakala RM1.5 juta lagi dari kerajaan negeri.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan bekalan bencana ini di sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang berkapasiti besar di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu bagi bekalan keperluan mangsa bencana pula, Hanafiah berkata agihan akan dibuat bermula minggu hadapan termasuk di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Tambah beliau lagi, pada tahun ini, JKM juga telah menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir seperti tahun sebelumnya.

"Latihan simulasi banjir di peringkat daerah juga telah selesai dilakukan dan kita berharap semuanya akan berjalan lancar apabila banjir melanda kelak.

"Walaupun banjir telah menjadi 'rutin tahunan' di Terengganu, penduduk masih perlu diingatkan agar bersiap sedia untuk melakukan persiapan rapi terutama jika perlu berpindah ke PPS," katanya.

Menurut Hanafiah, pada situasi banjir lepas, kadangkala berlaku kesulitan dalam soal memindahkan penduduk terjejas, kerana ada yang enggan berpindah walaupun sudah diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.