KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kerajaan Terengganu menerusi Mentri Besar Terengganu Incorporated (MBI) menjalin kerjasama dengan PETRONAS Gas Berhad (PGB) bagi membangunkan Loji Janakuaasa Hidro Mini.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata permeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) itu turut membabitkan cadangan Pengurusan Operasi dan Penyenggaraan Terminal di Terengganu.
Katanya, langkah tersebut bakal mengukuhkan pembangunan ekonomi di negeri Terengganu.
“Saya yakin bahawa kerjasama ini akan membuka peluang baharu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu.
“Sejajar dengan matlamat pelan jangka masa panjang yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara PETRONAS Gas Berhad dan Mentri Besar, Trengganu (Incorporated) bertempat di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan merangkap Penasihat Kewangan kepada Menteri Besar Terengganu, Muhammad Ramizu Mustaffa yang mewakili MBI.
Manakala PGB pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman dan Pengurus Besar Kanan (Pemprosesan Gas dan Utiliti), M Nazir M Nor.
Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, pembangunan loji janakuasa hidro kecil yang dicadangkan melalui anak-anak sungai di daerah Dungun adalah seiring dengan teras strategik 9 PITAS 2030 iaitu Pengukuhan Infra.
Di samping itu jelasnya, pemerkasaan Teknologi Hijau dan Pengawalan Impak Bencana dilihat sebagai penyelesaian Tenaga Boleh Baharu (TBB”) yang kritikal dalam menjadi solusi cabaran bekalan elektrik terutamanya bagi kawasan luar bandar yang terpencil.
Beliau berkata, bagi cadangan kerjasama pengurusan, operasi dan penyenggaraan terminal oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terenganu pula, ia dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak.
“Serta direalisasikan dengan jayanya, bakal membuka ruang pemerkasaan ekonomi bukan sahaja buat organisasi-organisasi terlibat, tetapi juga buat komuniti setempat melalui penawaran peluang pekerjaan dan perkongsian kemahiran teknikal.
“Saya percaya Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong PETRONAS dan PGB dengan Penyediaan infrastruktur dan sumber yang lengkap.
“Kerjasama kukuh yang terjalin sebelum ini telah memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, justeru pihak Kerajaan berharap jalinan kerjasama baharu ini akan mengukuhkan lagi hubungan dengan PETRONAS dan PGB," ujarnya.
Sementara itu, MBI telah meletakkan visi untuk menjalankan pelaburan strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan di Negeri Terengganu.
Oleh sebab itu kata MBI, usaha hari ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk melihat pembangunan yang lebih berdaya saing dapat dicapai melalui pelaburan strategik tertumpu.