KUALA LUMPUR, 19 April – Kerajaan Negeri Terengganu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PETRONAS bagi meneroka potensi pembangunan projek karbon berasaskan Nature-based Solutions (NbS).
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar serta menangani perubahan iklim.
“NbS ialah pendekatan yang memanfaatkan fungsi semula jadi ekosistem untuk menangani cabaran alam sekitar seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan degradasi tanah.
“Pendekatan ini menekankan usaha memelihara, memulihkan dan mengurus secara mampan kawasan seperti hutan, tanah lembap, paya bakau serta kawasan tadahan air,” jelasnya.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh beliau mewakili kerajaan negeri, manakala pihak PETRONAS diwakili oleh Pengurus Besar Kanan, Nature, Corporate Sustainability, Puan Giulia Sartori.
Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Mohd Azmi berkata, melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menilai pelaksanaan mekanisme yang berpotensi meningkatkan kapasiti penyerapan karbon, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca di peringkat negeri dan negara.

“Dalam konteks Terengganu, inisiatif NbS mempunyai potensi besar untuk memperkukuh pengurusan sumber hutan serta Kawasan Sensitif Alam Sekitar (Environmentally Sensitive Areas – ESA) secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
“Selain itu, kerjasama ini juga membuka peluang kepada pembangunan ekonomi hijau yang mampan, termasuk menjana nilai melalui pasaran karbon, di samping memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar terus terpelihara,” ujarnya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk terus bekerjasama dengan rakan strategik seperti PETRONAS dalam memperkasa inisiatif berimpak tinggi ke arah negeri rendah karbon dan lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Tag :