KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu sedang merangka Pelan Induk Warga Emas Sejahtera Terengganu 2030 (PIMAS2030) sebagai persediaan menghadapi peningkatan bilangan warga emas, selaras dengan unjuran Malaysia mencapai status negara tua menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pelan tersebut kini berada pada peringkat perancangan awal dan akan menjadi kerangka tindakan menyeluruh bagi memelihara kebajikan, kesejahteraan serta kualiti hidup warga emas di negeri ini.
Menurutnya, PIMAS2030 akan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu kesihatan, penjagaan sosial dan sokongan komuniti serta perlindungan pendapatan dan kesejahteraan ekonomi.
“Dari aspek kesihatan, kerajaan akan memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mesra warga emas menerusi program penuaan sihat, saringan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat.
“Kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif yang menyokong kesejahteraan fizikal dan kesihatan mental bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.
Mengulas aspek penjagaan sosial, Maliaman berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkukuh jaringan sokongan keluarga dan komuniti.
Jelasnya, kerajaan negeri juga akan menggalakkan penyertaan warga emas dalam aktiviti sosial serta pembelajaran sepanjang hayat, selain mewujudkan persekitaran yang lebih mesra kepada golongan berkenaan.
“Bagi penjagaan sosial, tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan jaringan sokongan keluarga dan komuniti, selain menggalakkan penyertaan warga emas dalam aktiviti sosial serta pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.
Dalam aspek ekonomi pula, beliau berkata, kerajaan negeri merancang memperluaskan peluang kepada warga emas yang masih produktif untuk terus terlibat dalam aktiviti ekonomi yang bersesuaian.
Menurutnya, langkah itu bertujuan membolehkan warga emas terus menyumbang kepada masyarakat, di samping membantu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup mereka.
Dalam pada itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) sebagai jaringan keselamatan kepada golongan warga emas.
Katanya, antara inisiatif tersebut ialah Bantuan Pencen Rakyat Terengganu, pengukuhan sistem kebajikan menerusi projek TEGANU CARE serta pelaksanaan konsep negeri berkebajikan.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan sesi libat urus bersama agensi kerajaan, institusi akademik, pakar, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan.
Jelasnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan PIMAS2030 dirangka secara inklusif, berasaskan bukti dan memenuhi keperluan sebenar rakyat sebelum dilaksanakan menjelang tahun 2030.