• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Salur Bantuan RM1 Juta Kepada Petani, Penternak

MARANG, 29 Mac - Kerajaan Terengganu akan mengagihkan bantuan RM1 juta kepada lebih 400 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar yang terjejas serta mengalami kerugian disebabkan banjir luar jangka baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan senarai akhir penerima sebelum menyalurkan bantuan itu ke akaun yang layak.

"Anggaran dalam tempoh sebulan ini yang mana paling teruk terjejas adalah sektor pertanian, akuakultur di daerah yang terlibat secara langsung dengan pertanian seperti di Hulu Terengganu, Setiu, Marang, Hulu Dungun dan Besut.

"Bantuan saguhati yang akan diberikan adalah pada10 peratus berbanding nilai kerugian sebenar bergantung kepada sektor, kalau tanaman kita beri RM1,000 hingga RM1,500 per hektar kerugian, lembu akan diberi RM500 bagi setiap ekor dan sangkar ikan 10 peratus daripada nilai kerugian yang mana pemberian ini telah diluluskan oleh jawatankuasa induk Tabung Pertanian negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemberian Bantuan Baja Pertanian Kepada Pekebun Kecil B40 Parlimen Marang yang disempurnakan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, fokus bantuan kerajaan adalah sentiasa mensasarkan golongan B40 yang merupakan majoriti penerima bantuan.

"Kita juga sedang bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan mereka dan kembali bangkit setelah menghadapi musibah termasuk terjejas dengan pandemik yang melanda dengan pendapatan minima sebanyak RM3,000.

"Usaha ini bagi mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan di mana 70 peratus rakyat Terengganu berada di dalam sektor ini," katanya.

 


Tag: