Berita :
Terengganu Sasar Hab Eksport Pertanian Melalui 'One Stop Centre'
Terengganu Sasar Hab Eksport Pertanian Melalui 'One Stop Centre'
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan Negeri kini merangka pembangunan 'One Stop Centre' sebagai strategi utama untuk memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai pengeksport hasil pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) eksport pertanian negeri masih rendah, Terengganu sebenarnya mempunyai pelbagai produk yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

"Memang diakui KDNK eksport hasil pertanian negeri kita adalah rendah walaupun banyak produk pertanian yang dieksport.

"Antara puncanya kerana kita tidak mempunyai exit and entry point seperti pelabuhan dan lapangan terbang atau pintu sempadan antarabangsa. 

"Tetapi bukan bermakna produk pertanian kita tidak mampu bersaing dalam pasaran eksport," katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurut beliau, bagi mengatasi kekangan tersebut, kerajaan negeri sedang mengenal pasti pelabur berpotensi untuk membangunkan sebuah hentian setempat yang berfungsi sebagai hab pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil agromakanan untuk tujuan eksport.

Keyakinan terhadap strategi itu dikukuhkan lagi khususnya melihat kepada status positif pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menjadi tapak asas dalam merealisasikan langkah tersebut.

"Menjelang siapnya projek ECRL kelak, Kerajaan Negeri sedang mengenalpasti pelabur berpotensi untuk membangunkan 'One Stop Centre' yang berfungsi sebagai hab pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil agromakanan bagi tujuan eksport.

"Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tapak tanah yang sesuai di Teluk Kalong Kemaman untuk ditawarkan kepada pelabur yang berminat bagi tujuan ini," jelasnya.

Ulasnya lagi, pusat tersebut akan dilengkapi pelbagai kemudahan utama termasuk pusat transit dan kuarantin haiwan ternakan, pusat pengumpulan serta pembungkusan hasil tani, gudang penyimpanan input pertanian, kemudahan penyimpanan sejuk beku dan bangunan operasi serta pemeriksaan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kejayaan menembusi pasaran antarabangsa oleh beberapa produk tempatan membuktikan kualiti hasil pertanian Terengganu berada pada tahap kompetitif.

Antara contoh yang dikemukakan termasuk susu kambing UHT jenama Kaprima yang berjaya memasuki pasaran Singapura, selain melon manis Terengganu yang menembusi pasaran Dubai, China, Singapura dan Indonesia, serta produk perikanan seperti siakap dan kerapu hibrid dari Laguna Setiu yang dieksport ke Taiwan dan Hong Kong.

"Kenapa semua contoh produk tempatan di atas boleh menembusi pasaran antarabangsa? Jawabnya, kerana kualiti," kata beliau.

Selain itu, Dr. Azman turut menekankan keperluan meningkatkan kadar 'self-sufficiency ratio' (SSR) bagi memastikan keperluan domestik dipenuhi sebelum aktiviti eksport dipergiatkan, seperti yang ditunjukkan oleh pengeluaran tembikai negeri yang melebihi 150 peratus.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memastikan data eksport direkodkan berdasarkan asal produk.

"Data KDNK perlu direkodkan berdasarkan 'origin' sesuatu produk. Bukan dikira dari pintu keluar mana ia dieksport.

"Contohnya, diesel yang dihantar ke Filipina perlu dilihat asalnya dari Pengerang, bukan dikira syarikat perkapalan mana yang menguruskan penghantaran," ujarnya.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan