• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Sedia Dana Persekolahan RM12 Juta

Exco, Ustaz Satiful Bahri Mamat bercakap dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM12 juta bagi bantuan awal persekolahan sesi 2019, khususnya kepada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, seluruh rakyat Terengganu yang isi pendapatan keluarganya kurang RM2,500 sebulan layak memohon bantuan awal persekolahan.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan dana persekolahan ini dan dibuka secara 'online' bermula 1 hingga 21 Oktober 2018, dalam tempoh masa tiga minggu.

“Berdasarkan maklum balas yang lalu, kita menjangkakan seramai 116,000 pelajar bakal memperolehi manfaat itu. Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi kelengkapan persiapan persekolahan.

“Pelajar lelaki akan diberi baju, seluar, stokin, kasut dan beg sekolah. Pelajar perempuan pula akan diberikan kain, baju, stokin, kasut, beg dan tudung sekolah.

“Kita akan bahagikan baucer dan boleh ditebus di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Kita (kerajaan) memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk membantu pelajar miskin dari keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya dalam satu sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman, (26 September).

Menurutnya, berlaku pertambahan penerima dana bantuan itu bagi tahun 2019 berbanding tahun sebelum ini.

“Tahun lepas, kita (kerajaan) membelanjakan sebanyak RM10.9 juta dan tahun ini dianggarkan RM12 juta.

“Pemberian dana dalam bentuk barangan itu supaya ianya menepati sasaran secara langsung untuk keperluan persekolahan, berbanding dengan pemberian wang tunai,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Ustaz Saiful Bahri, pemohon di kalangan ibu bapa boleh melayari laman sesawang i-dana.terengganu.gov.my bagi tujuan tersebut.


Tag: