KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta bagi pelaksanaan Skim Dana Usahawan Belia Terengganu (DUTE), khas buat golongan belia yang ingin memulakan perniagaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, bantuan tersebut bakal memberi kelegaan besar kepada usahawan muda yang masih bertatih dalam dunia perniagaan.
Menurut beliau, inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usahawan dan peniaga kecil, khususnya dalam kalangan anak muda Terengganu.
“Melalui skim ini, kita akan agihkan sebanyak RM50,000 kepada setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN). Bantuan yang disalurkan kepada individu yang layak adalah antara RM1,000 hingga RM5,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sembang Usahawan @ Kuala Terengganu/Kuala Nerus Sempena SME Open Day 2025 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.
Tambahnya, skim ini turut menjadi platform penting bagi membantu belia yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan tanpa perlu bergantung kepada sumber kewangan berisiko tinggi.
“Terdapat belia yang terjerat dengan hutang tidak sah akibat kekurangan akses kepada modal permulaan yang sah dan berpatutan.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja membebankan individu terlibat, malah boleh menggagalkan impian mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya,” ujar beliau.