• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM4 juta bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif tersebut bertujuan membangunkan prasarana infrastruktur pusat tahfiz yang kini kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. 

"Bantuan ini juga membantu kos pengurusan dalam meringankan beban kepada pengusaha tahfiz.

"Antara keberkesanan inisiatif adalah membangunkan prasarana dan infrastruktur pondok supaya lebih selesa digunakan disamping membantu pengurusan tahfiz membeli bahan bantu mengajar yang diperlukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambahnya, bantuan inisiatif itu juga membantu menambahbaik tempat-tempat riadah dan menyelesaikan bil-bil utiliti yang berkaitan pengurusan pondok," ujarnya.