KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited menghidupkan suasana Ramadan tahun ini menerusi pelbagai pengisian kerohanian, kemasyarakatan dan aktiviti tradisi bagi menyemarakkan bulan penuh keberkatan.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah penganjuran Madinah Ramadan yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan di beberapa lokasi terpilih.
Program ini menyediakan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk tazkirah, ibadah berjemaah serta pengisian rohani bagi menggalakkan masyarakat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain itu, sambutan Nuzul Al-Quran akan diadakan sebagai acara utama bagi memperingati peristiwa agung penurunan Al-Quran, sekali gus memperkukuhkan penghayatan umat Islam terhadap kitab suci tersebut.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri menetapkan garis panduan hiburan sepanjang Ramadan dengan menghadkan operasi aktiviti hiburan sehingga jam 10 malam sebagai langkah menjaga kesucian dan keharmonian bulan mulia ini.
Bagi memeriahkan suasana Ramadan, aktiviti tradisi seperti pelita raya turut dianjurkan bagi menghidupkan kembali budaya warisan masyarakat Melayu serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
Inisiatif tersebut turut merangkumi pelbagai aspek termasuk kemudahan penginapan, penyediaan gerai makanan, pengangkutan serta perkhidmatan sokongan lain bagi memastikan kelancaran aktiviti sepajang program berlansung
Bagi merancakkan ekonomi tempatan, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sebanyak 54 lokasi Bazar Ramadan di seluruh Terengganu, sekali gus memberi peluang kepada peniaga menjana pendapatan serta memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.
Usaha bersepadu ini diharap mampu menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna melalui keseimbangan antara pembangunan ekonomi, pengisian rohani dan pengukuhan nilai tradisi masyarakat.